Wednesday 23 November 2011

Penubuhan SMA MAIWP Labuan....

15 April – Sejarah telah terlakar apabila YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj.Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP telah merasmikan Sekolah Menengah Agama Pertama di Wilayah Persekutuan Labuan.  


SMA MAIWP Labuan yang diletakkan di bawah pengurusan JAWI Labuan ini telah memulakan operasinya pada Februari 2011 yang lalu menggunakan blok bangunan di Sekolah Rendah Agama Islam Al Mustaqim di Kampung Lubuk Temiang W.P.Labuan buat sementara waktu. Jumlah pelajar pada pengambilan pertama ini berjumlah 100 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar di Labuan, Sabah dan Sarawak. Bagi menjadikan pengurusan sekolah ini lebih efektif dan berdaya saing, MAIWP dalam masa yang sama akan meninjau tanah-tanah yang berpotensi untuk dibangunkan bangunan kekal SMA MAIWP yang akan menjadi mercu tanda syiar Islam di Labuan.

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Menteri berkata “Penubuhan SMA MAIWP adalah satu impian dan harapan penduduk Labuan yang ditunggu-tunggu semenjak penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan dan pada hari ini impian tersebut telah direalisasikan apabila Mesyuarat MAIWP kali 113 telah meluluskan penubuhan SMA MAIWP di Labuan pada tahun ini”.

Tambah beliau lagi, “Penubuhan sekolah ini bukan sahaja menjadi harapan pemimpin masyarakat setempat bahkan harapan ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan agama yang sempurna yang menjadi tuntutan agama Islam kepada umatnya supaya menjadi seorang yang berilmu dalam pelbagai bidang keilmuan. Justeru itu, penubuhan SMA MAIWP merupakan mekanisma yang berkesan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang”.

Ujar beliau lagi, “Adalah menjadi harapan agar sekolah ini akan menjadi salah sebuah sekolah terbaik di Labuan yang mendapat pilihan bukan sahaja di kalangan para pelajar di Labuan bahkan akan menjadi Pusat Ilmu yang terkenal dikalangan para pelajar di Kepulauan Borneo”.

Di akhir ucapan, beliau berharap ibubapa, guru dan masyarakat sentiasa saling bekerjasama dalam memastikan kejayaan SMA MAIWP supaya harapan umat Islam di Labuan ini menjadi kenyataan. Untuk itu, adalah penting para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan aktiviti-aktiviti dalam pelajaran bahkan aktiviti-aktiviti luar yang akan menjadi para pelajar lebih matang.

Majlis perasmian ini diakhiri dengan YB. Menteri menandatangani plak sebagai tanda perasmian Penubuhan SMA MAIWP Labuan. Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB. Datuk Hj Yussof bin Hj. Mahal, Ahli Parlimen Labuan, Y.Bhg. Dato’ Hj. Che Mat bin Che Ali Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP, Y.Bhg. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, KPE MAIWP, Encik Zainal bin Abidin KPE Perbadanan Labuan dan Ahli-ahli MAIWP.

No comments:

Post a Comment