Wednesday 23 November 2011

KPE MAIWP BENTANG KERTAS KERJA “AGIHAN ZAKAT : ISU, IMPAK DAN PENGHARAPAN”

26 Oktober- Tuan Haji Anan bin C. Mohd, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP telah dijemput membentangkan kertas kerja di JAWHAR Intellectual Discourse yang diadakan di Auditorium EA, Kompleks E Putrajaya.


Seminar anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) itu diadakan sebagai forum perkongsian ilmu bagi membincangkan isu-isu berkaitan wakaf, zakat, mal dan haji . Pada seminar tersebut, Tuan Haji Anan telah dijemput membentangkan kertas kerja bertajuk “Agihan Zakat : Isu, Impak Dan Pengharapan” .

Dalam pembentangan tersebut, Tuan Haji Anan telah mengenengahkan beberapa usaha proaktif MAIWP dalam mengagihkan zakat kepada lapan golongan asnaf. Antaranya bantuan wang tunai melalui Bantuan Kewangan Bulanan yang disalurkan kepada 9,000 asnaf berjumlah RM30 juta.

Menurut beliau lagi, MAIWP turut membantu 334 orang pesakit buah pinggang dengan kos sebanyak RM8.46 juta setahun bagi mereka menjalani rawatan haemodialisis. Sebanyak RM9 juta lagi wang zakat diagihkan kepada seramai 16,056 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Wilayah Persekutuan melalui Bantuan Dermasiswa. 

Dalam membantu melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan Islam yang berjaya, sebanyak RM2.76 juta bantuan perniagaan telah disalurkan kepada 1,024 usahawan kecil di Wilayah Persekutuan. Sehingga kini, MAIWP juga telah melatih seramai 270 usahawan. Daripada jumlah itu seramai 150 telah berjaya keluar dari kepompong kemiskinan, manakala sebahagian lagi masih lagi bertatih untuk menuju kejayaan.

Selain agihan zakat secara langsung, MAIWP turut membelanjakan wang zakat bagi aktiviti pendidikan dan kebajikan melalui institusi di bawahnya seperti Sekolah Menengah Agama MAIWP, Instititut Kemahiran Baitulmal, Instititut Profesional Baitulmal, Kolej Kejururawatan PUSRAWI, Tadika-tadika Islam, Darul Kifayah dan Dar Assaadah. Kata beliau lagi, MAIWP juga telah meluluskan sebanyak RM8 juta bagi penubuhan sekolah menengah agama MAIWP di Labuan.

Beberapa cabaran dalam mengagihkan zakat turut dibentangkan oleh beliau iaitu persepsi masyarakat tentang agihan zakat, memastikan agihan zakat dibuat secara lebih menyeluruh dan meningkatkan tahap kecekapan tadbir urus dan kompetensi.

Di akhir pembentangan, beliau menyatakan MAIWP sentiasa berusaha dengan lebih konsisten untuk meningkatkan jumlah agihan zakat yang mencakupi segenap aspek keperluan masyarakat dan ummah. ”Usaha ini secara tidak langsung telah menyebabkan fungsi zakat bukan hanya sekadar ibadah semata-mata tetapi juga memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat. Dengan kata lain, apabila zakat mengembalikan hak asnaf, ini bermakna zakat dapat memperbaiki ketaksamarataan dan ketidakseimbangan kekayaan yang berlaku dalam masyarakat hari ini,” kata beliau mengakhiri pembentangan.

Kertas kerja tersebut boleh dimuat turun di laman web MAIWP atau klik pada link ini : Agihan Zakat : Isu, Impak Dan Pengharapan.

Penubuhan SMA MAIWP Labuan....

15 April – Sejarah telah terlakar apabila YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj.Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP telah merasmikan Sekolah Menengah Agama Pertama di Wilayah Persekutuan Labuan.  


SMA MAIWP Labuan yang diletakkan di bawah pengurusan JAWI Labuan ini telah memulakan operasinya pada Februari 2011 yang lalu menggunakan blok bangunan di Sekolah Rendah Agama Islam Al Mustaqim di Kampung Lubuk Temiang W.P.Labuan buat sementara waktu. Jumlah pelajar pada pengambilan pertama ini berjumlah 100 orang yang terdiri dari pelajar-pelajar di Labuan, Sabah dan Sarawak. Bagi menjadikan pengurusan sekolah ini lebih efektif dan berdaya saing, MAIWP dalam masa yang sama akan meninjau tanah-tanah yang berpotensi untuk dibangunkan bangunan kekal SMA MAIWP yang akan menjadi mercu tanda syiar Islam di Labuan.

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Menteri berkata “Penubuhan SMA MAIWP adalah satu impian dan harapan penduduk Labuan yang ditunggu-tunggu semenjak penubuhan Wilayah Persekutuan Labuan dan pada hari ini impian tersebut telah direalisasikan apabila Mesyuarat MAIWP kali 113 telah meluluskan penubuhan SMA MAIWP di Labuan pada tahun ini”.

Tambah beliau lagi, “Penubuhan sekolah ini bukan sahaja menjadi harapan pemimpin masyarakat setempat bahkan harapan ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan agama yang sempurna yang menjadi tuntutan agama Islam kepada umatnya supaya menjadi seorang yang berilmu dalam pelbagai bidang keilmuan. Justeru itu, penubuhan SMA MAIWP merupakan mekanisma yang berkesan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang”.

Ujar beliau lagi, “Adalah menjadi harapan agar sekolah ini akan menjadi salah sebuah sekolah terbaik di Labuan yang mendapat pilihan bukan sahaja di kalangan para pelajar di Labuan bahkan akan menjadi Pusat Ilmu yang terkenal dikalangan para pelajar di Kepulauan Borneo”.

Di akhir ucapan, beliau berharap ibubapa, guru dan masyarakat sentiasa saling bekerjasama dalam memastikan kejayaan SMA MAIWP supaya harapan umat Islam di Labuan ini menjadi kenyataan. Untuk itu, adalah penting para pelajar bukan sahaja didedahkan dengan aktiviti-aktiviti dalam pelajaran bahkan aktiviti-aktiviti luar yang akan menjadi para pelajar lebih matang.

Majlis perasmian ini diakhiri dengan YB. Menteri menandatangani plak sebagai tanda perasmian Penubuhan SMA MAIWP Labuan. Hadir sama pada majlis tersebut ialah YB. Datuk Hj Yussof bin Hj. Mahal, Ahli Parlimen Labuan, Y.Bhg. Dato’ Hj. Che Mat bin Che Ali Pengarah JAWI merangkap Setiausaha MAIWP, Y.Bhg. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, KPE MAIWP, Encik Zainal bin Abidin KPE Perbadanan Labuan dan Ahli-ahli MAIWP.